Tuesday, May 15, 2012

Bersih 3.0: Wong hantar bunga untuk Unit Amal

Petikan Harakahdaily.net

KUALA LUMPUR, 15 Mei: Unit Amal PAS menerima dua jambangan bunga hiasan daripada peserta Bersih 3.0 berbangsa Cina sebagai penghargaan terhadap perkhidmatan cemerlang mereka pada perhimpunan tersebut.

Wong Kow Kong, 58, menghantar sendiri bunga tersebut ke Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini, semalam dan diterima seorang Unit Amal yang bertugas di pejabat.

Bunga tersebut dikepilkan dengan sekeping kad bertulis " Kepada semua ahli Unit Amal yang bertugas pada hari 428 Bersih 3.0 2012", "Terima kasih banyak-banyak",  Salute to all of you,  When injustice become law, membantah adalah tanggungjawab kita", dan "hidup hidup hidup rakyat".

Wong ketika dihubungi hari ini berkata, beliau dan keluarga sangat berterima kasih terhadap anggota Unit Amal yang bertugas menjaga keamanan pada perhimpunan tersebut.

Beliau berharap pemberian bunga tersebut dapat menggembirakan hati anggota-anggota Unit Amal atau turut digelar 'Tentera Merah'.

"Saya nak ucap terima kasih kepada Unit Amal sebab banyak tolong peserta-peserta pada Bersih 3.0.

"Bunga itu satunya daripada saya dan keluarga dan satu lagi daripada kawan saya. Saya harap mereka suka bila terima bunga itu," katanya yang merupakan seorang tukang jahit dan mempunyai kedai jahit di Damansara.

Menurut Wong, sewaktu perhimpunan tersebut, beliau berada di Jalan Tun Perak dan melihat sendiri bagaimana Unit Amal bertugas menjaga peserta-peserta.

Malah katanya, beliau yang turut menyertai perhimpunan Anti ISA dan Bersih 2.0 sangat senang dengan kewujudan Unit Amal di lokasi perhimpunan.

"Saya memang sudah biasa dengan Unit Amal. Setiap kali perhimpunan, saya tengok dengan mata kepala sendiri mereka bersusah payah bertugas," katanya.

Beliau juga menolak dakwaan bahawa Unit Amal bertindak ganas sewaktu perhimpunan.

"Kalau saya tengok Unit Amal ganas, saya tak akan bagi mereka bunga," katanya sambil ketawa.

Seramai 4,000 anggota Unit Amal dari Semenanjung Malaysia bertugas pada perhimpunan 28 April lalu.

Wednesday, May 2, 2012

Banjir Kilat di Trolak Pekan - Amal Tanjong Malim

Trolak Pekan - 02.05.2012, Banjir kilat telah melanda Trolak Pekan. Bencana ini adalah paling tinggi paras air daripada sebelum-sebelum ini. Pimpinan PAS Kawasan, Pemuda PAS Kawasan dan Jabatan Amal bergegas ke tempat kejadian untuk menghulurkan bantuan dari sudut makanan, tenaga dan sebagainya

Bersih 3.0: Kadir kagum kawalan Unit Amal

KUALA LUMPUR, 2 Mei: Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir  melahirkan rasa kagum dengan kecekapan pihak Unit Amal PAS mengawal ketenteraman sewaktu berlaku kekecohan pada Himpunan Bersih 3.0 pada sabtu lepas.


Beliau yang turut memberitahu bagaimana tindakan diambil oleh unit tersebut yang meminta agar peserta himpunan tidak terikut-ikut dengan provokasi yang dilakukan oleh pihak tertentu.

"Saya benar-benar kagum dengan kecekapan serta tindakan yang diambil oleh anggota Unit Amal dalam mengawal ketenteraman sewaktu berlaku kekecohan pada himpunan tersebut.

"Malah mereka juga bertindak mengingatkan agar peserta tidak memasuki perangkap yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab membuat provokasi bagi mencetuskan huru hara," jelas bekas ahli majlis tertinggi Umno kepada Harakahdaily di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) sewaktu sidang media.

Sebelum itu, pada satu sidang media yang sama Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga turut menyatakan anggota keselamatan dari Unit Amal PAS adalah yang terbaik dalam menjalankan tugas sewaktu himpunan itu.

Dalam pada itu, Abdul Kadir juga turut melahirkan rasa terkejut bagaimana rakyat yang begitu ramai dapat memasuki pusat bandaraya walaupun pelbagai halangan dilakukan oleh pihak berkuasa.

"Rakyat hadir untuk menuntut satu perkara sahaja iaitu pilihanraya adil dan telus, mereka dapatan berkumpul untuk menyatakan hak yang sepatutnya dilaksanakan olek kerajaan sebelum menjelangnya pilihanraya umum," sambung beliau.


Namum, beliau kesal apabila kerajaan tidak mengambil berat perkara tersebut tetapi menumpukan kepada isu tuduh menuduh yang belum pasti kesahihan kejadian sebenar.

Kalau kerajaan itu telus dan bertanggungjawab serta memanggil pihak Bersih untuk berbincang perkara yang sepatutnya diselesaikan dan bertindak mengikut apa yang dituntut agar perkara sedemikian tidak berulang lagi, katanya.


"Kerajaan perlu tumpukan kepada perkara-perkara pokok, rakyat tidak akan bangkit mendesak sesuatu perkara jika kerajaan dari dulu lagi mendengar apa yang mereka inginkan," tambahnya lagi.

p/s Tahniah kepada Jabatan Amal Tanjong Malim yang memberi komitmen di BERSIH 3.0